Picture by Pengiran M. Badi’uzzaman of Langit Ilahi
Para
Ibu, Sanggupkah Kita Membesarkan Pemimpin Masa Hadapan Dengan Sebuah Kejahilan?
Ayuh
Bersama Tingkatkan Ilmu!
Pendahuluan – Kisah bayi koma
Ketika blog-walking, saya terjumpa berita
yang ditulis oleh seorang doktor tentang kisah seorang bayi berusia empat bulan
yang mengalami koma setelah diberi susu formula yang dicampurkan air yang
melebihi sukatan yang ditetapkan.
Hal ini terjadi disebabkan ibu kepada bayi tidak mengetahui atau tidak mempunyai ilmubahawa
bayi bawah 6 bulan tidak boleh diberikan air lebih daripada kadar yang
sepatutnya kerana air tersebut akan menjadi racun kepada bayi tersebut.
Akibatnya, bayi tersebut menjadi sawan dan kemudiannya koma tidak sedarkan
diri.
Apabila membaca kisah tragis tersebut, hati menjadi pilu.
Saya terfikir, kekurangan ilmu (dalam konteks di atas, ilmu sains) pada seorang
ibu mengakibatkan nyawa si bayi terancam. Bagaimana pula kekurangan ilmu deen
dan ilmu-ilmu lain? Apakah kesan dan akibatnya kepada si anak nanti?
Bahkan dalam urusan menjaga kesihatan jasmani anak sekalipun,
seorang ibu memerlukan ilmu yang cukup. Inikan pula dalam urusan menjaga dan
memperkembangkan seluruh potensi anak dalam aspek ruhani, emosi dan intelektual
anak agar dia membesar menjadi seorang Hamba Allah yang cinta dan patuh kepada
Rabbnya. Tentu seorang ibu itu memerlukan ilmu yang luas, setuju?
Maka, di sini ingin saya kongsikan pula kunci kedua untuk menjadi
seorang ibu generasi yang luas biasa iaitu memiliki ilmu pengetahuan yang luas.
Ilmu itu membezakan
Akhowat yang dikasihi Allah SWT,
Firman Allah SWT dalam surah Az-Zumar (39): 9 yang bermaksud;
“Apakah sama orang-orang yang
mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?”
Begitu juga dalam konteks kita para muslimah, dalam usaha kita
untuk menjadi seorang ibu generasi. Adalah amat berbeza seorang ibu yang
memiliki ilmu dengan seorang ibu yang tidak memiliki ilmu dalam mengurus dan
mengendalikan anak-anaknya. Lihat saja dua sketsa dibawah ini sebagai renungan
bersama.
Dua orang ibu menghantar anak masing-masing yang berumur 3 tahun
ke sebuah taska. Perhatikan cara kedua ibu ini mengendalikan anak
masing-masing.
Situasi A
Anak : Ummi, kenapa kakak perlu ke
sekolah? (bertanya dengan wajah yang monyok)
Ummi : Kakak rasa kenapa ya?
Anak : Sebab ummi nak kakak pandai.
Ummi : Alhamdulillah, bagus anak ummi.
Anak : Tapi, Ummi, kenapa kakak
mesti belajar di sini? Kalau belajar di rumah tak boleh ke?
Ummi : Kakak solehah, kakak rasa kenapa ummi hantar
kakak ke sini?
Anak : Sebab Ummi perlu pergi kerja
ke?
Ummi : Bijak anak ummi ni…! Ummi perlu bekerja.
Kakak duduklah baik-baik di sekolah ya. Nanti petang ummi ambil ya.
Insya-allah.
Anak : Tapi, Kenapa ummi perlu pergi
kerja?
Ummi : Kakak rasa kenapa?
Anak : Macam ummi selalu kata,
“Sebab ummi nak beri yang terbaik untuk anak-anak ummi..”
Ummi : Masya-allah, anak ummi sangat pandai!
Okay sayang, ummi pergi dulu. Ummi sayang kakak selalu. Doakan ummi ya!
Anak : …….. Okay…..
Situasi B
Anak : Ummi, kenapa kakak perlu ke
sekolah?
Ummi : Sebab kakak perlu belajar banyak perkara.
Anak : Kenapa kakak mesti belajar,
ummi? Kenapa kakak tak boleh belajar di rumah?
Ummi : Kakak, kan ummi kata kakak kene pergi sekolah.
Pergi je la. Petang nanti ummi datang ambil ya.
Anak : Nak balik rumah…. Tak nak
pergi sekolah….!!
Ummi : Shh… Jangan nangis-nangis. Jangan
nakal-nakal. Ummi pergi dulu. Assalamu’alaikum.
Anak : Waaaaa (menangis)
Sisters yang dikasihi Allah SWT,
Berdasarkan situasi di atas, apakah yang dapat anda simpulkan?
Kelihatan ibu di situasi A lebih tahu tentang psikologi
perkembangan anaknya berbanding ibu di situasi B, bukan?
Mengikut kajian ilmu psikologi, salah satu tanda perkembangan
sihat pada akal anak-anak ialah mereka mula banyak bertanya. Pertanyaan mereka
disebabkan oleh banyak faktor, sama ada si anak benar-benar ingin mengetahui,
atau pertanyaannya itu hanya merupakan cara mereka hanya mahu menzahirkan
protes mereka terhadap sesuatu tindakan.
Si ibu di situasi A meraikan kesedihan dan pertanyaan anaknya
dengan bertanyakan soalan kembali dan memberikan penjelasan dengan penuh
kesabaran kepada anaknya. Tindakan si ibu ini meninggalkan kesan positif kepada
emosi anak yang ditinggalkan. Sebaliknya, ibu di situasi B tidak berbuat
demikian, maka kesan kepada anak yang ditinggalkannya juga berbeza.
Kedua-dua ibu di atas tentu sahaja amat menyayangi anak-anak
mereka, tetapi bagaimana mereka mengendalikan anak mereka sedar ataupun tidak
dipengaruhi oleh ilmu yang mereka ada.
Maka, dalam usaha kita untuk menjadi seorang ibu yang luas biasa,
yang menjadi batu asas kepada sebuah generasi yang hebat, tentu saja kita mesti
berusaha untuk memiliki sesuatu yang dapat mengangkat darjat kita di
sisi Allah SWT iaitu ilmu pengetahuan.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Mujadalah (58) : ayat 11 yang
bermaksud
“…nescaya Allah akan
meninggikan orang-orang beriman di antara kamu dan orang-orang yang berilmu
pengetahuan beberapa darjat.”
Ilmu apa yang perlu
dikuasai itu?
“Ilmu Allah ni luas la, awak.. Ilmu apa yang saya perlu kuasai
sebagai syarat minimum untuk saya menjadi seorang ibu yang baik?” tanya seorang
teman kepada saya.
Saya terdiam. Betul juga tu. Ilmu Allah SWT itu luas, ilmu apa
yang harus dikuasai seorang wanita muslimah dalam usaha untuk mempersiapkan
diri menjadi seorang ibu generasi?
Ketika sibuk merujuk bahan-bahan fikrah yang ada, tiba-tiba suami
tercinta menghulurkan buku catatannya.
“Sayang, ini senarai ilmu yang seorang murabbi (pendidik) perlu
ada. Al-Marhum Ustaz Dahlan yang kongsikan dulu masa di sekolah. Mana tau ada
manfaatnya.”
Menarik dan sangat bermanfaat. Senarai yang memang dicari-cari!
Maka di sini, saya kongsikannya.
1) Ilmu syara’ (syari’at)
Ilmu yang pertama harus dimiliki oleh seorang ibu generasi ialah
ilmu syara’.
Apa itu ilmu syara’?
Ilmu syara’ atau syariat islam ialah ilmu terkait hukum dan aturan
Islam yang sempurna dan menyeluruh mencakupi seluruh permasalahan
hidup manusia dan kehidupan dunia ini.
Contoh ilmu syara’ yang dekat dengan kita ialah ilmu tentang
kewajipan solat, cara-cara mendirikan solat, ganjaran mendirikan solat dan
hukuman meninggalkan solat. Sumber utama ilmu syara’ ini adalah Al-Quran,
Hadith, Ijma’, Qiyas dan Ijtihad. Namun, tidak dapat tidak, ilmu syara’ ini
mesti ditelusuri dengan keimanan total kepada
Allah taala.
Sebagai seorang ibu Muslimah yang berhajat melahirkan anak-anak
Muslim yang mencintai Deen mereka , sanggupkah kita membiarkan diri kita jahil
pada ilmu yang hakikatnya wajib (fardu ain) dihayati oleh setiap umat Islam
ini? Tentu jawapannya tidak, bukan?
Bagaimana seorang Muslimah dapat mempelajari ilmu ini?
Antara jalan-jalannya ialah dengan banyak membaca buku-buku Islam
dan kerap menghadiri program-program islam seperti usrah, seminar dan nadwah
yang dianjurkan di tempat masing-masing. Selain itu, para wanita boleh
mempelajari ilmu syara’ dalam halaqoh keluarga yang diadakan oleh suami atau
ayah masing-masing (note: para suami dan ayah, ini tanggungjawab anda yang
mesti ditunaikan!).
Tak lupa juga, kepada mereka yang ada kemudahan televisyen dan
radio, anda juga boleh mengikuti program islam yang dikeudarakan terutama dalam
stesen tv dan radio islamik seperti TV Al-Hijrah dan IKIM.
Insya-allah, sekiranya kita serius dalam menuntut ilmu Islam yang
akan membantu kita menjadi Muslim yang lebih baik, besar keberkatan yang
dijanjikan.
Teringat kata-kata seorang ‘ulama mujtahid, Imam Al-Maududi dalam
kitabnya, Dasar-dasar Islam;
“Anda selalu bersikap penuh
perhatian dalam mengerjakan sawah ladang anda, mengairi dan melindungi
tanaman-tanaman anda, memberi makan ternak anda dan mengerjakan
pekerjaan-pekerjaan yang bersangkut paut dengan matapencarian anda yang lain.
Kerana, bila anda tidak bekerja dengan penuh perhatian, anda pasti akan
kelaparan dan kehilangan sesuatu yang sangat berharga bagi anda, yakni nyawa
anda. Maka, kenapa anda tidak bersikap serius dan bersunguh-sungguh dalam mencari ilmu pengetahuan, yang pada pengetahuan inilah bergantungnya hakikat anda disebut
sebagai seorang Muslim dan hidup seterusnya sebagai
seorang Muslim?”
2) Ilmu waqi’ (semasa)
Seterusnya, ilmu kedua yang diperlukan oleh seorang ibu generasi
ialah ilmu waqi’.
Apa itu ilmu waqi’?
Ilmu waqi’ bermaksud ilmu realiti semasa. Ilmu-ilmu ini adalah
satu keperluan dan ilmu harus dipelajari dengan berpaksikan iman dan syara’.
Sumber ilmu ini adalah melalui kajian, pemerhatian, pengembaraan dan pengalaman
mereka yang mengkaji. Contohnya ilmu waqi’ yang mesti dikuasai ialah ilmu
penjagaan bayi, ilmu pemakanan sihat bayi dan kanak-kanak, ilmu mengajar anak
berbahasa dan sebagainya.
Ilmu ini sangat penting yang sekiranya kita tidak milikinya
berkemungkinan mengancam nyawa si anak seperti apa yang terjadi dalam kisah
yang saya kongsikan di permulaan tulisan ini.
Bagaimana anda boleh dapatkan ilmu waqi’ ini?
Sama sahaja. Banyaklah membaca bahan-bahan ilmiah dan bermaklumat
seperti majalah Mami&Baby, website Baby centre dan lain-lain. Hadirkanlah
diri ke kelas-kelas atau seminar-seminar keibubapaan yang dianjurkan. Tontonlah
rancangan-rancangan dokumentari yang terkait dengan keibubapaan.
Bunyinya mudah, bukan? Tapi, semaklum saya, berapa ramai ibu yang
tidak ambil berat dengan usaha mendapatkan ilmu-ilmu realiti semasa ini.
3) Ilmu nafs (psikologi)
Akhir sekali, ilmu yang amat-amat diperlukan oleh seorang ibu
generasi dalam menghasilkan anak-anak yang hebat ialah ilmu nafs atau bahasa
modennya ilmu psikologi.
Apa itu ilmu nafs?
Ilmu nafs ringkasnya ialah ilmu mengenal fitrah manusia. Firah
manusia ini termasuklah jiwa, emosi, personaliti, perasaan dan watak manusia.
Sumber ilmu ini boleh dirujuk daripada kajian, pemerhatian, pengembaraan dan
pengalaman pengkaji yang tidak bertentangan dengan kedua-dua sumber asas islam
iaitu Al-Quran dan Assunnah.
Hakikatnya ilmu nafs ini adalah sebahagian daripada ilmu waqi’.
Namun, Al-Marhum Ustaz Dahlan menyebutnya secara khusus kerana beliau ingin
menegaskan kepentingan penguasaan ilmu ini bagi seorang murabbi (pendidik).
Begitulah juga kita sebagai seorang ibu, pendidik utama dan
pertama kepada seorang bayi. Amat penting kita menguasai ilmu mengenal fitrah
jiwa, emosi dan perasaan anak kecil kita demi memastikan kita dapat menjalankan
tanggungjawab dan amanah mendidik mereka dengan sebaik mungkin.
Contoh pengaplikasian ilmu nafs adalah seperti dua dialog di atas.
Penutup – Kisah mama bosan
Akhowat yang dikasihi Allah SWT,
Telah saya mulakan tulisan ini dengan sebuah kisah benar, maka
ingin saya akhiri tulisan ini juga dengan sebuah kisah benar.
Mungkin para akhowat maklum tentang kisah ‘Mama Bosan’ yang pernah
dihebohkan di akhbar dan siaran-siaran radio minggu lalu, bukan?
Ya, kisah mama bosan tersebut ialah terkait dengan seorang ibu
muda berusian 20-an yang kebosanan dengan tugasnya sebagai surirumah. Si ibu
itu kemudiaannya menghabiskan masa di salah satu pusat siber selama 8 jam
hampir setiap hari semenjak tahun lalu untuk bermain permainan komputer
sehingga sanggup membiarkan anak kecilnya kelaparan.
Hati siapa yang tak sebak mengenangkan keadaan anak kecil
tersebut. Tetapi, saya lebih lebih lagi berasa kesal dengan si ibu tersebut.
Pada saya, kalau melihat senarai ilmu di atas pun dah cukup untuk seorang
wanita yang ingin menjadi ibu yang hebat punya masa untuk dihabiskan dengan
sia-sia, bukan?
Walaupun menjadi seorang surirumah (yang tak dibebani dengan tugas
di tempat kerja), bagaimana kita boleh menjadi bosan sedangkan terlalu banyak
yang boleh dilakukan, terutama dalam usaha menambah ilmu pengetahuan? Sama-sama
kita renungkan, kalau tak pun ilmu itu tidak berguna untuk dirinya, ilmu itu
pasti berguna untuk anak-anak kita! Allahuakbar…
Konklusinya, tidak dapat tidak, jom kita bertindak serius dalam
menambahkan ilmu pengetahuan kita sekiranya kita serius untuk menjadi ibu
kepada sebuah generasi yang hebat! Yosh!
P/s : Artikel dipetik daripada
sini
(LangitIlahi.com). Sila rujuk jika ke artikel asal jika ada apa2 kesalahan.