Friday, November 23, 2012

Saya Mestilah Muslim dari Sudut Ibadah

Bismillahi Rahmanir Rahim

Nahmaduhu wa nusolli 'ala Rasulihil Karim. Rabbi syrahli sodri wayassirli amri wahlul 'uqdatan millisaani yafqohu qauli


Rakan-rakan yang saya sayangi sekalian,moga kalian sentiasa berada dibawah naungan rahmat dan ksaih sayangNya,

Perbentangan saya bertajuk "Saya Mestilah Muslim dari Sudut Ibadah".

Kenapa saya mestilah Muslim dari sudut ibadah atau lebih jelas lagi melakukan ibadat yag disuruh dalam Islam adalah satu kewajipan? Untuk tahu jawapannya kita kena tahu terlebih dahulu apa maksud ibadat.

Ibadat dalam Islam bermaksud kemuncak bagi sifat kepatuhan dan kerndahan diri kepada Allah. Juga ia juga merupakan kemuncak merasai keagungan Tuhan yang disembah. Oleh yang demikian,Islam telah menetapkan supaya hidup seorang muslim itu sentiasa dipelihara agar menjadi ibadat dan ketaatan kepada Allah swt. Firman Allah swt :


Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka
menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki
pemberian dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan
kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dialah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian
makhlukNya, dan Dialah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga,
lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya. (Surah Al-Zariyat 51: Ayat 56-58)


Firman Allah swt lagi :


Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah
untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (Surah Al-
An'am 6: Ayat 162)


Tuan-tuan yang mulia,

Ibadat ini juga akan memberi kesan mendalam terhadap perhubungan manusia dengan makhluk lainnya. Sekaligus telah menyahut seruan Allah berkenaan dengan hablum minallah wa hablum minannas. Maka bila terlaksananya akan hal itu,redhaNya pasti bersama kita,insyaAllah.

Di samping itu,harus diketahui sesuatu yang berguna itu semestinya dilaksanakan dengan cara yang betul. Begitu juga halnya dengan ibadat. Dalam melakukan ibadat kita wajib melakukannya dengan mengikuti peraturan sehabis baik. Jadi,di sini,siapa yang akan menjadi model untuk kita melakukan ibadat? Tentu sekali kita punya idola,ar Rasul SAW. Secara zahiriah dan rohaniah kita diwajibkan mengikuti baginda SAW.

Dari aspek spiritual berkenaan ibadah,kita mestilah melaksanakan ibadat yang berhubung dengan Tuhan iaitu  yang mencapai "martabat keihsanan dalam beribadah". Maksudnya kita melakukan ibadat seolah-olah kita dapat melihat Allah swt. Dan kalau kita rasa tak mampu sedemikian maka kita mesti yakin yang Allah sentiasa melihat kita.

Selain itu,ibadat yang kita lakukan hendaklah disertai rasa khusyuk. Khusyuknya ibadat itu hingga kita dapat merasai kelazatan atau kemanisannya malah mendatangkan kekuatan kepada saya untuk berterusan mengerjakannya. Kesibukan dunia dan hiruk-pikuknya telah kita buang dan lupakan maka dengan itu dapatlah kita rasai kehadiran Allah semasa beribadat. Untuk dapat perkara-perkara yang tersebut di atas semestinya memerlukan latihan. Jadi latihlah diri kita dengan ibadat sunnat yang digalakkan oleh Allah dan pesuruhNya.

Sahabat-sahabat yang saya kasihi sekalian,

Dalam meningkatkan mutu dan kualiti ibadat kita,marilah kita lazimi diri dengan membaca al-Quran. Mukjizat agung yang terpelihara hingga ke hari qiamat ini tidak boleh tidak kita mesti tadabbur ia semampu kita. Nabi saw bersabda :


"Sesungguhnya Al-Quran ini adalah hidangan Allah, oleh itu hendaklah kamu
menyebutnya sekadar yang terdaya oleh kamu menyebutnya. Sesungguhnya Al-
Quran ini adalah tali Allah, cahaya yang terang benderang dan penawar yang
berguna. Penjaga kepada siapa yang berpegang kepadanya, jaminan kejayaan bagi
yang mengikutinya. Ia tidak salah yang menyebabkan ia tercela, ia tidak bengkok
yang menyebabkan ia perlu diperbetulkan, keajaibannya tidak kunjung habis dan
ia tidak menjadi cacat sekalipun banyak (kandungannya) ditolak orang. Bacalah
Al-Quran kerana Allah akan memberi ganjaran ke atas setiap huruf dari
bacaanmu dengan sepuluh kebaikan. Aku tidak mengatakan kepadamu Alif, Lam,
Mim itu satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf."

(Riwayat Al-Hakim)

Setelah perbetulkan niat,menyelami maksud Kalamullah dalam proses untuk perbaiki ibadat kita,janganlah kita lupa menadah tangan untuk berdoa kepadaNya. Ini kerana doa merupakan senjata orang mukmin. Doa juga merupakan otak kepada ibadat dan kita mesti menjadikan doa sebagai perantaraan dengan Allah di dalam setiap urusan hidup. Untuk itu saya mestilah memilih doa-doa yang ma'thur dari Rasulullah s.a.w atau dengan penuh takut dan harap menyatakan rayuan kita kepada Rabbul Jalil.

Demi menjadikan hidup kita sentiasa dalam mode beribadat kepada Allah, Rasulullah saw telah menunjukkan contoh terbaik kepada kita. Baginda telah mengajarkan kita supaya berdoa dalam segala situasi kehidupan. Dari bangun tidur hingga ke kita hendak tidur semula. Semua ada doanya.!

Wahai teman seperjuangan sekalian,

Kesimpulannya,ingin saya menegaskan bahawa perlunya ibadat sebagai pelengkap "rukun" beriman. Hal yang demikian kerana seseorang yang mengatakan dia beriman adalah melalui 3 perkara;
a. Mengucapkan dengan lidah
b. Membenarkan dengan hati
c. Beramal dengan anggota

Namun,harus diingat,betapa banyak sekalipun ibadat kita,yang memberi taufiq dan hidayat untuk melakukan adalah Dia yang Maha Berkuasa. Malah,Dia yang berupaya memasukkan kita ke syurga dengan rahmatNya bukan semata-mata dengan sehebat atau sebanyak mana pun ibadat kita. Oleh itu cari lah jua keredhaan Allah dengan beribadat.

Sekian,wasalam.




No comments:

Post a Comment